Tindakan tegas jika LTdL’08
gagal
Utusan, 18/12/2007
PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan
Sukan (KBS) membayangkan akan mengambil keputusan dan tindakan
tegas jika penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 9 hingga
17 Februari tahun depan gagal mencapai matlamat asalnya.
‘‘Matlamat penganjuran
LTdL yang telah memasuki edisi ke-13 tahun depan bagi membantu
perkembangan sukan berbasikal di negara kita dan pada masa yang
sama ia dapat memberikan impak yang positif dari aspek perlancongan,’’
kata menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said di sini, semalam.
Azalina berkata, LTdL’08
akan menjadi kayu pengukur sama ada kejohanan yang berstatus 2.0
itu berjaya mencapai matlamat atau sebaliknya.
‘‘Kita mungkin terpaksa
mengambil keputusan yang tidak disenangi oleh semua pihak kerana
KBS memperuntukkan hampir RM25 juta (jumlah maksimum bagi penganjuran
LTdL’08) untuk kejohanan itu,’’ katanya.
Kenyataan tegas Azalina itu menyusul
setelah kontroversi yang melanda penganjuran LTdL membabitkan
kos penganjuran dan bebanan hutang yang tinggi pada edisi-edisi
lepas.
Malahan, pada September lepas,
Azalina mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa penganjuran yang
diketuai oleh Pengerusi Panel Penasihat Sukan (SAP), Datuk Nik
Mahmud Nik Yusoff dan Timbalan Presiden Persatuan Berbasikal Kebangsaan
Malaysia (PBKM), Datuk Naim Mohamad sebagai Ketua Pegawai Operasi
bagi melicinkan penganjuran kejohanan itu.
Terdahulu, Azalina melancarkan
laluan LTdL’08 yang akan dilalui oleh 25 pasukan bertanding
membabitkan jarak sejauh 1,381.5 kilometer dengan sembilan peringkat
perlumbaan.
Berbeza dengan tahun ini yang bermula
di Pulau Langkawi, peringkat pertama kejohanan tahun depan akan
bermula di Alor Star, Kedah (9 Februari) dan berakhir di Dataran
Merdeka, Kuala Lumpur (17 Februari) yang membabitkan enam negeri
iaitu Kedah, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Mengenai pencapaian atlet kebangsaan
di Sukan SEA Ke-24 di Korat, Thailand yang berakhir Sabtu lepas,
Azalina berkata kontinjen negara mungkin boleh mencapai lebih
jika mutu pengadilan tidak berat sebelah.
‘‘Kita kehilangan beberapa
pingat dalam beberapa cara subjektif seperti gimnastik kerana
pengadil kebanyakan daripada tuan rumah (Thailand),’’katanya.
Kontinjen negara berjaya melepasi
sasaran 64 emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN)
dengan mengutip 68 emas dan berada di tempat kedua keseluruhan
di belakang Thailand pada temasya dwitahunan itu.
<<
BACK TO NEWS MAIN
|