NEWS FLASH
    THE RACE
    NEWS
News Clippings
Press Releases
    RESULTS
    CONTACTS
    HOME
Ministry Of Youth and Sports


Sanctioned by:
Union Cyclisté Internationale


Asian Cycling Confederation

Malaysian National Cycling Federation

 
News Clippings


Serpa bukti kemampuan peringkat ke-6
Utusan, 15/2/2008

ROMPIN – Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi 2006 dan 2007, Jose Serpa berjaya membuktikan dia mampu beraksi cemerlang pada laluan mendaki dan landai selepas berjaya mengungguli peringkat ke-6 perlumbaan itu dari Bandar Penawar, Johor ke Rompin, Pahang semalam lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Namun, dia yang melakukan breakaway dari kumpulan 15 pelumba pada saat-saat akhir sebelum garisan penamat terpaksa bersaing dengan pakar pecut pasukan Credit Agricole, Jeremy Hunt.

Pada peringkat ke-6 semalam, Serpa, 29, turut berjaya menewaskan 141 peserta lain dengan catatan masa 4 jam 26 minit 43 saat. Perlumbaan sejauh 182.80 kilometer itu turut menyaksikan, Serpa meninggalkan dua pencabarnya, Alexandre Usov dari AGR2 La Modiale, dan Johnnie Walker dari pasukan SouthAustralia.Com-AIS yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa yang sama iaitu 4 jam 26 minit 43 saat.

Serpa ketika ditemui berkata, dia menyifatkan perlumbaan semalam sebagai sangat baik, walaupun terpaksa bersaing hebat dengan pelumba-pelumba lain.

“Sebagai pelumba yang diramal memenangi perlumbaan pada tahun ini, saya akui, ada sedikit tekanan yang terpaksa dihadapi.

“Namun ia tidak melemahkan semangat saya, lebih-lebih lagi, bila sampai di selekoh terakhir, saya meninggalkan pelumba-pelumba lain agak jauh, di situ saya tahu, kejuaraan peringkat ini memang milik saya,'' katanya.

Serpa yang menduduki tempat kedua keseluruhan individu (jersi kuning) berkata, pada perlumbaan tahun ini, beliau sekali lagi akan cuba merampas jersi kuning selepas gagal tahun lalu.

Pada perlumbaan peringkat ke-6 semalam, barisan pelumba negara kurang menyerlah apabila hanya Mohd. Hariff Salleh dari pasukan MNCF Cycling Team tampil memberikan saingan.

Gelaran Raja Bukit pula menjadi milik Chris Meschenmoser dari pasukan Team Ista, sekaligus membolehkannya mengutip empat mata selepas menewaskan Walker dan Dennis Van Niekerk dari pasukan kebangsaan Afrika Selatan bagi zon pecut pertama di Jamaluang.

Jersi kuning pula masih menjadi milik pelumba Perancis, Matthieu Sprick dari pasukan Bouyges Telecom bagi hari keenam berturut-turut selepas berjaya mencatat kayuhan 23 jam 43 minit dan 16 saat.

Bagaimanapun, Sprick belum boleh merasa selamat dengan kedudukannya buat masa ini berikutan dua pencabar terdekat yang hanya berada beberapa saat di belakangnya iaitu pelumba pasukan Drapac Porsche, Mitchell Docker dan Gustavo Cesar dari Karpin Galicia.

Perlumbaan peringkat ke-7 akan diteruskan dari Kuala Rompin ke Kuantan yang meliputi laluan landai sejauh 126.6km hari ini.

<< BACK



For any media enquiries, kindly email your personal details to media@ltdl.com.my


 

© 2007 - 2008. All contents copyright © Kementerian Belia Dan Sukan. Website Developed by Creative Appetite