Azalina tak mahu LTdL dibebani
masalah lagi
Berita Harian, 06/12/2007
PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi
(LTdL) - acara berbasikal paling berpestij negara - mungkin terkubur
andainya edisi ke-13 saingan, Februari nanti, terus dibelenggu
pelbagai masalah.
Kemungkinan itu ditimbulkan Menteri Belia
dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman yang tidak mahu imej negara
turut terheret akibat pelbagai masalah dalaman yang mengganggu
beberapa edisi perlumbaan sebelumnya.
“Sejak beberapa tahun lalu, penganjuran
LTdl sering dipertikaikan pelbagai pihak. Malah kemungkinan ianya
ditamatkan sentiasa diperdebatkan.
“Saya sendiri sudah banyak kali memberi
amaran kepada MNCF (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia)
untuk meyakinkan umum bahawa perlumbaan LTdL ini wajar diteruskan.
“Keutamaan untuk perlumbaan tahun
depan ialah kos penganjuran perlu dikurangkan. Kita sudah menganjurkan
LTdL sejak sekian lama, sudah tentu kita tahu bagaimana cara untuk
berjimat. Saya tidak mahu penganjuran LTdL dijadikan peluang oleh
segelintir pihak membuat duit.
“Kementerian juga akan mencari jalan
untuk memastikan pemantauan lebih serius mengenai perkara ini
dilakukan,” katanya selepas majlis pelancaran logo, laman
web dan urusetia LTdL 2008, semalam.
Isu kos itu sebelumnya jadi tumpuan utama
apabila Kementerian Belia dan Sukan terpaksa menyelamatkan penganjuran
LTdL 2007 ekoran daripada timbunan hutang penganjur beberapa edisi
sebelumnya, First Cartel.
Malah perlumbaan tahun ini juga tidak bebas
daripada pertikaian apabila akaun penganjuran lewat ditutup ekoran
dakwaan penyelewengan serta tuntutan tidak berasas beberapa pihak.
“Penganjur perlu buktikan LTdL tahun
depan mampu dilaksanakan dengan berjaya, tanpa sebarang masalah
yang mampu memaksa kita memikirkan semula mengenainya,”
kata Azalina.
Antara pengukur lain kejayaan ialah usaha
mengadakan pelbagai aktiviti dan program pembangunan yang perlu
seiring dengan penganjuran LTdL tahun depan.
LTdL 2008 akan menyaksikan rekod penyertaan
25 pasukan, termasuk lima pasukan ProTour dan 10 pasukan Asia
akan bersaing dalam perlumbaan dijadual daripada 9 hingga 17 Februari
nanti.
<<
BACK |