LeTua pikat pelumba Australia
Utusan Online,
5/2/2008
KUALA LUMPUR – Pasukan benua
pertama negara LeTua telah mengambil seorang pelumba dari Australia
bagi memastikan kemenangan pada perlumbaan di Le Tour de Langkawi
(LTdL) 2008 yang akan bermula Sabtu ini.
LeTua akan menggunakan khidmat pelumba berusia
25 tahun, Bernard Sulzberger selain mengekalkan lima pelumba lain
iaitu Anuar Manan, Ahmad Haidar Anuawar, Mohd Sayuti Zahit, Tonton
Susanto dan Ryan Arehan.
“Kami sedar saingan pada LTdL adalah
lebih tinggi daripada pasukan-pasukan profesional Jelajah Pro
dan Eropah, oleh itu sesuatu perlu dilakukan oleh LeTua,”
kata pengurus pasukan, Shukor Yassin kepada pemberita semalam.
Katanya langkah mengambil Sulzberger ini
perlu bagi memastikan satu daripada sembilan peringkat perlumbaan
yang dipertandingkan menjadi milik mereka.
“Walaupun masih segar dengan kejayaan
di Jelajah Malaysia bulan lepas apabila Tonton muncul juara individu
keseluruhan dan Anuar Manan mengekalkan jersi raja pecut, ia masih
belum mencukupi.
“Oleh itu kami memutuskan untuk mengambil
Sulzberger yang mempunyai pengalaman berlumba di sekitar Eropah
dan mempunyai prestasi yang konsisten.
“Tujuan utamanya adalah bagi membantu
pelumba-pelumba LeTua yang lain seperti Anuar Manan dan Ahmad
Haidar Anuawar untuk berada di kelompok depan pelumba,”
katanya.
Shukor berkata selain seorang pelumba pecut,
Sulzberger juga mampu membantu dua pelumba dari Indonesia, Ryan
dan Tonton, di peringkat pendakian Bukit Fraser pada peringkat
ke lapan.
Sementara itu Anuar yang dinobatkan selaku
“Raja Pecut” pada Jelajah Malaysia untuk dua tahun
berturut-turut berkata ketibaan Sulzberger akan menguatkan lagi
pasukan itu.
“Saya akan cuba memberikan yang terbaik
dengan memenangi satu peringkat perlumbaan seperti sasaran pasukan
pada tahun ini,” katanya.
Anuar berkata, perlumbaan LTdL tahun ini
banyak memberi kelebihan kepada pelumba pecut seperti dirinya
kerana membabitkan banyak laluan landai namun perlu berhati-hati
kerana risiko kemalangan adalah tinggi.
Ketika di LTdL 2007, Anuar hanya
berupaya menduduki tempat kesembilan pada peringkat ke-4 (Gua
Musang ke Kota Bharu), manakala rakan sepasukan, Ahmad Haidar
berjaya menduduki tempat ke-6.
<<
BACK
|