30 warga negara berbeza sertai
LTdL
Berita Harian,
1/2/2008
REKOD baru tercatat untuk saingan
Le Tour de Langkawi (LTdL 2008) apabila lebih 30 warga negara
berbeza akan bersaing dalam kejuaraan lumba basikal berprestij
itu yang bermula 9 sehingga 17 Februari depan selain penyertaan
jagoan lumba basikal dunia.
Ketua Pegawai Operasi Le Tour, Datuk Naim
Mohamad berkata, berdasarkan senarai penyertaan awal membabitkan
150 peserta, Malaysia menghantar peserta paling ramai dengan 18
orang, diikuti Australia 17, Jepun 12, Itali 10 dan Perancis serta
Jerman masing-masing mempunyai sembilan pelumba.
Selain itu, pelumba dari negara lain termasuk
New Zealand, Hong Kong, Korea, Iran, Afrika Selatan, Indonesia,
Sepanyol, Russia, Colombia, Switzerland, Kazakhstan, China, Mexico,
Argentina, Belarus, Venezuela, Taiwan, Ireland, Britain, Moldavia,
Belanda, Estonia, Belgium dan Amerika Syarikat.
Sejumlah 25 pasukan akan berada di garis
mula di Alor Star 9 Februari ini iaitu Crédit Agricole,
Serramenti PVC Diquigiovanni-Androni Giocattoli, South Africa,
Giant-Asia, Tinkoff, Skil-Shimano, Bouygues Telecom, Ag2r-La Mondiale
dan CSF Group-Navigare.
Pasukan lain adalah, Karpin-Galicia, Team
Type 1, NGC Medical-OTC Industria Porte, Gerolsteiner-Ista, Southaustralia.com-AIS,
Meitan Hompo-GDR, Trek-Marco Polo, Azad University, LeTua, Polygon-Sweet
Nice, Seoul Cycling Team, Malaysia Continental, Drapac-Porsche,
New Zealand, Hong Kong dan Malaysia.
Sejumlah jagoan lumba basikal dunia turut
disenaraikan dalam perlumbaan ini termasuk pelumba Itali, Alberto
Loddo, yang memenangi lima peringkat saingan pada tahun lalu dan
kini menunggang untuk Tinkoff.
Seorang lagi jaguh, Danilo Hondo dari Jerman,
akan membuktikan pelaburan pasukan barunya, Serramenti PVC Diquigiovanni-Androni
Giocattoli berbaloi manakala veteran dari Britain, Jeremy Hunt
akan mewakili Crédit Agricole.
Sementara itu, Proton yang menjadi
penyokong setia LTdL mengukuhkan lagi komitmen mereka pada tahun
ini. Dengan kemunculan semula pasukan Pro Tour berserta dengan
sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan, penganjur yakin acara
pada tahun ini akan menjadi kejohanan yang paling cemerlang pernah
dianjurkan sejak 1996.
<<
BACK
|