NEWS CLIPPING


Peringkat akhir LTdL penentu gelaran
12/12/2009, SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Edisi ke-15 Le Tour de Langkawi (LTdL) bakal menyaksikan lebih banyak perubahan dilaksanakan demi meningkatkan lagi saingan pada perlumbaan yang terbesar di Asia bermula 1 hingga 7 Mac 2010.

Buat julung kalinya, selepas 14 tahun dianjurkan, LTdL akan mencipta sejarah apabila semua peringkat yang dipertandingkan menawarkan mata pecutan dan mata Raja Bukit (KOM) di semua tujuh peringkat perlumbaan,

Jika pada edisi sebelum ini, pemenang jersi kuning (juara keseluruhan) ditentukan apabila tamat peringkat pendakian kategori Hors di Genting Highlands, jelajah 2010 pula menjanjikan penentuan semua gelaran hanya akan dimuktamadkan pada peringkat terakhir di Dataran Merdeka.

Ini sebahagian risiko berani yang diambil penganjur yang mengubah laluan tradisi Kriterium Kuala Lumpur kepada Kuala Kubu Baru-Dataran Merdeka di peringkat terakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2010, Mohamed Salleh berkata, laluan LTdL 2010 menawarkan mata (pecutan dan KOM) di setiap peringkat sehingga peringkat terakhir. Ini jelas akan menambahkan lagi kerancakan perlumbaan, selain aksi pemisahan (breakaway) dan kejar-mengejar di sepanjang laluan.

“Ramai beranggapan bahawa garis penamat sesuatu peringkat sahajalah sebagai penentu kemenangan, tetapi tidak bagi perlumbaan jelajah (tour). Sebenarnya di setiap zon pecutan dan KOM ada drama tersendiri. Pelbagai strategi dan taktik dirancang pelumba dan pasukan untuk mengutip setiap mata yang ditawarkan," katanya.

Pemilihan laluan seperti yang diumumkan baru-baru ini juga adalah untuk memastikan jersi Raja Bukit (KOM) terus dipertandingkan setiap peringkat, berbeza dengan edisi sebelum ini di mana mata KOM ditawarkan pada beberapa peringkat tertentu sahaja hinggakan ada kalanya pemenang dengan mudah dapat mempertahankan jersi sehingga ke peringkat Genting.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abdul Wahab turut memberikan gambaran positif kepada laluan LTDL 2010.

“Dari segi teknikal, laluan seperti inilah yang digemari para pelumba kerana ianya memberikan cabaran kepada kemampuan mereka, bukan sahaja memaksa segenap kudrat pelumba, tetapi juga perlu lebih bijak memilih matlamat mereka, sama ada sebagai pemenang peringkat, Raja Pecut atau Raja Bukit di setiap peringkat perlumbaan.

“Hanya pelumba dan pasukan yang benar-benar hebat menyusun strategi dan taktik perlumbaan dari awal hingga akhir sahaja bakal dinobatkan juara keseluruhan di akhir perlumbaan nanti” katanya.

Abu Samah juga tidak menafikan bahawa laluan pada tahun 2010 akan sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada pelumba tempatan untuk memberikan saingan yang lebih bermakna dalam perlumbaan LTdL.

“Prestasi pelumba negara beberapa tahun kebelakangan ini semakin matang khususnya pakar-pakar pecut dan tidak mustahil di lima peringkat pertama mereka akan membuat kejutan kerana laluan seperti ini jelas memberikan kelebihan.

Perlumbaan berstatus 2.0 Hors membabitkan tujuh peringkat iaitu Kota Bharu-Kuala Berang (174.5km), Kuala Terengganu-Chukai (182.9km), Pekan-Mersing (144km), Mersing-Parit Sulong (163.5km), Muar-Port Dickson (140.2km) Putrajaya- Genting Highlands (103.9km) dan Kuala Kubu Baru-Dataran Merdeka (92.8km), membabitkan jarak keseluruhan 1008.1km.

Sebanyak 120 pelumba daripada 20 pasukan termasuk tiga pasukan tempatan dijangka akan mengambil bahagian dalam acara LTdL 2010.

<< Back to Main

WE SUPPORT

MEDIA ENQUIRY
For any media enquiries, kindly email to media@ltdl.com.my