NEWS CLIPPING


Anuar cemerlang
08/03/2010, HARIAN METRO

BERLABUHNYA tirai perlumbaan terbesar Asia edisi ke-15, Le Tour de Langkawi (LTdL) di Dataran Merdeka, semalam menyaksikan, Anuar Manan gah di pentas kemenangan apabila menyarung jersi Hijau untuk dinobatkan sebagai Raja Pecut.

Anak kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu turut melakarkan sejarah tersendiri dalam arena perlumbaan berstatus Hors itu apabila menjadi pelumba pertama Asia dalam tempoh penganjuran merangkul jersi Hijau buat julung kali.

Anuar yang bersaing sengit dengan pelumba Jayco-Skins, Michael Matthews sepanjang tujuh perlumbaan, akhirnya berjaya mengumpul 103 mata mengatasi Matthews yang sekadar memungut 82 untuk berkedudukan di tempat kedua dalam saingan jersi Hijau itu.

Namun impian pelumba berusia 24 tahun dalam percubaannya untuk meraih kemenangan peringkat buat kali kedua gagal apabila melepasi garisan penamat di tempat keempat dalam perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai.

Perlumbaan yang dilepaskan dari Kuala Kubu sejauh 133.7km itu didominasi pelumba Drapac Porsche, Stuart Shaw yang melepasi garisan penamat dengan catatan 3 jam 1 minit, tempat kedua menjadi milik pelumba Pro Tour, Footon-Servetto, Vidal Celis dan Rene Haselbacher (Vorarlbrg-Corratec) ketiga.

Bagi Anuar, kejayaan bergelar Raja Pecut bukan kejayaannya seorang dan ia adalah hasil usaha semua pelumba negara dalam pasukan kebangsaan yang banyak membantunya memudahkan perancangan strategi.

“Kejayaan ini adalah yang terbaik saya selain merealisasikan impian muncul kemenangan semua peringkat. Terima kasih kepada semua rakan pelumba dan rakyat Malaysia yang membantu kejayaan saya hari ini.

“Selepas ini saya akan ke Eropah, mungkin ke Perancis untuk berlumba dan menjalani latihan di sana dan berharap agar dapat memperbaiki prestasi saya, terutama dalam pecutan, jika boleh, mencapai tahap seperti pasukan profesional,” katanya yang akan terus bersama Geumsan Ginseng.

Dalam persaingan perebutan tiga jersi yang ditawarkan, penakluk Genting Highlands, Jose Rojano dari ISD-Neri muncul pelumba terbaik bagi menyarung jersi Kuning apabila mempunyai kelebihan 2 minit 7 saat ke atas pelumba di tangga kedua Gong Hyo Suk (Seoul Cycling).

Hyo Suk bagaimanapun dinobatkan Pelumba Terbaik Asia apabila disarungkan jersi Biru dengan Peter McDonald merampas kembali jersi Polka Dot (Raja Bukit) daripada Rujano selepas pelumba dari Darpac Porche mengungguli saingan di dua pendakian ditawarkan, semalam.

Sementara itu, hasrat skuad negara untuk menamatkan perlumbaan di kedudukana ke-12 keseluruhan tidak kesampaian apabila menduduki tempat ke-14 dengan Adiq Hussinie Othaman muncul pelumba tempatan terbaik di tempat ke-35.

<< Back to Main

WE SUPPORT

MEDIA ENQUIRY
For any media enquiries, kindly email to media@ltdl.com.my