NEWS CLIPPING

LTdL 2010 bakal cipta tradisi baru
08/01/2010, BERITA HARIAN

KEJOHANAN jelajah berbasikal tersohor negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 bakal memecah tradisi edisi sebelumnya apabila pendakian puncak tertinggi Genting Highlands bukan lagi menjadi penentu gelaran Raja Bukit dan juara keseluruhan.

“Saingan kali ini lebih terbuka di mana setiap peringkat perlumbaan akan menampilkan sekurang-kurangnya satu zon pendakian dan tiga zon pecutan,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohd Yassin Salleh di Putrajaya, semalam.

“Pada perlumbaan kali ini, kami jangkakan jersi perlumbaan juga akan bertukar tangan setiap hari sekali gus menjadikan saingan kali ini lebih sengit berbanding 14 edisi terdahulu. Gelaran juara hanya akan diketahui sebaik peringkat terakhir dari Kuala Kubu Baru ke Kuala Lumpur berakhir.”

Yassin yang juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran berkata, LTdL 2010 kekal mendapat sambutan hangat dari pasukan profesional antarabangsa tetapi penyertaan terpaksa dihadkan kepada hanya 20 pasukan termasuk tiga pasukan tempatan.

“Setakat ini, segala persiapan penganjuran berjalan lancar dan pada mesyuarat hari ini, hanya masalah-masalah kecil dibangkitkan wakil dari setiap negeri yang terbabit dalam laluan perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Wahab mensasarkan pasukan kebangsaan menduduki kelompok 12 terbaik keseluruhan memandangkan tempoh singkat latihan pusat di Sabah yang bermula pada 17 Januari dan berakhir 24 Februari ini.

LTdL 2010 dari 1 sehingga 7 Mac ini membabitkan tujuh peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,001.8 kilometer.

<< Back to Main

WE SUPPORT

MEDIA ENQUIRY
For any media enquiries, kindly email to media@ltdl.com.my