NEWS CLIPPING


Rujano tawan Genting Highlands
07/03/2010, KOSMO

PELUMBA pasukan ISD-Neri, Jose Guillen Rujano berjaya dalam misinya menebus kehampaan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila mengungguli peringkat keenam edisi ke-15 semalam dari Putrajaya ke Genting Highlands.

Rujano tampil pada LTdL 2010 kali ini dengan hajat menyudahkan misinya yang tidak terlaksana pada edisi 2005 apabila pakar pendakian itu hampir memenangi Jersi Kuning selaku juara keseluruhan sebelum dia dipintas Ryan Cox di garisan penamat di puncak Genting Highlands.

Begitupun, pada perlumbaan semalam, pelumba kelahiran Venezuela itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk melepasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam, 4 minit dan 21 saat.

Kejayaan itu membolehkan Rujano merampas Jersi Kuning daripada pelumba Tabriz Petrochemical, Tobias Erler yang menyarung jersi tersebut sejak peringkat kedua lagi.

Kejayaan pada peringkat pendakian itu juga menyaksikan Rujano, 28, turun pada saingan terakhir di Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka hari ini dengan kelebihan 2:07s ke atas pencabar terdekatnya dari pasukan Seoul Cycling, Gong Hyo Suk.

“Rakan sepasukan saya banyak membantu saya sebelum memasuki zon pendakian. Saya mula meninggalkan pelumba lain pada baki tujuh kilometer dan walaupun agak keletihan, saya masih percaya mampu menyudahkannya.

“Semua strategi pasukan dilihat menjadi hari ini (semalam) dan saya harap kejayaan ini bakal meletakkan saya di landasan yang baik menjelang Giro d'Italia 2010 nanti.

“LTdL 2010 adalah persiapan yang baik bagi saya sebelum kejohanan itu,” kata Rujano yang turut merampas Jersi Polka Dot bagi gelaran Raja Bukit daripada pelumba Drapac Porsche, Peter McDonald.

Dalam pada itu, pelumba sensasi negara, Anuar Manan yang gagal mempertahankan Jersi Biru selaku pelumba terbaik Asia selepas dia hanya mampu menamatkan pendakian ke Genting Highlands di tempat ke-77 semalam.

Bagaimanapun, Anuar yang menjuarai peringkat kelima dari Muar, Johor ke Port Dickson, Negeri Sembilan kelmarin, masih mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut.

Tabriz Petrochemical pula mengambil alih kedudukan teratas senarai pasukan terbaik keseluruhan dan Asia apabila tiga pelumbanya, Hossein Askari, Ghader Mizbani dan Ahad Kazemi menamatkan saingan semalam dalam kelompok 10 teratas.

Skuad kebangsaan Malaysia pula menduduki tempat ke-15 keseluruhan dan ketujuh bagi kategori Asia.

<< Back to Main

WE SUPPORT

MEDIA ENQUIRY
For any media enquiries, kindly email to media@ltdl.com.my