NEWS CLIPPING

Cardoso ketuai cabaran Footon-Servetto
06/02/2010, BERITA HARIAN

PEMENANG peringkat di jelajah Tour Down Under, Manuel Cardoso akan mengetuai cabaran pasukan ProTour, Footon-Servetto yang bakal membuat penampilan kali kedua untuk meraih penghormatan lebih besar pada edisi ke-15 Jelajah Le Tour de Langkawi 2010 (LTdL), 1-7 Mac depan.

Pasukan kendalian Mario Gianetti yang dulu dikenali dengan nama Fuji-Servetto itu mengesahkan nama Cardoso, juara kebangsaan lebuh raya Portugal yang menyertai pasukan itu bagi kalendar perlumbaan 2010 selepas pasukan lamanya, Liberty Seguros, bersama lima pelumba lain.

Pelumba 27 tahun itu yang mencatat tujuh kemenangan sepanjang tahun lalu, menjuarai Peringkat 3 dari Unley ke Stirling sejauh 132km pada Tour Down Under, 21 Januari lalu.

Selain Cardoso, Footon-Servetto juga membariskan Matthias Brandle dari Austria; Markus Eibegger (Austria), Pedro Merino (Sepanyol); Rafael Valls (Sepanyol) dan Johnnie Walker (Australia).

Cardoso dijangka akan bergandingan dengan Valls, seorang lagi pakar mendaki yang memberikan kemenangan pertama Footon bagi 2010 apabila memenangi Peringkat 2 jelajah Tour de San Luis di Argentina, 19 Januari lalu.

Seorang lagi pelumba Sepanyol yang dijangka memperkuatkan cabaran Servetto pada peringkat pendakian mencabar ke puncak Genting Highlands LTdL 2010 ini adalah Merino, pelumba Sepanyol yang memenangi kejuaraan kebangsaan Bawah 23 tahun pada 2009.

Dengan keputusan tangga ketiga berpasukan keseluruhan tahun lalu manakala pelumba terbaiknya, Frederrik Kessiakoff berada di tangga keempat keseluruhan, pasukan berpangkalan di Muriedas Camargo, Sepanyol itu dijangka mampu menepati statusnya sebagai pasukan ProTour dalam perebutan semua kategori pada edisi ke-15 LTdL ini.

<< Back to Main

WE SUPPORT

MEDIA ENQUIRY
For any media enquiries, kindly email to media@ltdl.com.my