NEWS CLIPPING


Erler sukar digugat
04/03/2010, KOSMO

SELEPAS berakhirnya perlumbaan peringkat ketiga Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 semalam, gelaran pendahulu keseluruhan masih kekal milik pelumba pasukan Tabriz Petrochemical, Tobias Erler biarpun pelumba Jerman itu menamatkan saingan sejauh 145.6 kilometer dari Pekan ke Mersing itu di tempat kesembilan.

Bekas guru Matematik di sebuah sekolah di Jerman itu mempertahankan Jersi Kuning yang dimenanginya pada perlumbaan peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Chukai kelmarin daripada dirampas pelumba Afrika Selatan, Jay Thomson dengan kelebihan tujuh saat.

Perlumbaan tersebut bagaimanapun dimenangi Michael Matthews dari pasukan Jayco-Skins sambil diikuti rapat Matthews Alex Canelario dari Kelly Benefit Strategies (kedua) dan Dmytro Grabovskky dari ISD-Neri (ketiga).

Begitupun, bagi Erler biarpun gagal memenangi peringkat ketiga semalam, dia tetap gembira dengan kejayaannya mempertahankan Jersi Kuning setelah dipaksa berhempas pulas sebelum memperbaiki kedudukannya dalam peloton pertama yang mencecah garisan penamat.

"Saya gembira kerana masih mengekalkan gelaran pendahulu keseluruhan ini walaupun ia agak sukar hari ini (semalam)," kata Erler.

"Ketika saingan memasuki jarak tujuh kilometer, sudah ada empat hingga lima pelumba melakukan breakaway (pemecahan), jadi saya terpaksa mengerah banyak tenaga untuk mengejar mereka.

"Ketika berada dalam kelompok pertama pula, saya terpaksa bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan, tetapi pada masa itu sudah keletihan," katanya.

Matthews yang menyarung Jersi Kuning pada peringkat pertama memberitahu bahawa dia yakin untuk beraksi cemerlang pada perlumbaan semalam dalam misi merampas Jersi Hijau yang menjadi milik Anuar Manan.

"Saya rasa kelebihan saya dalam perlumbaan kali ini ialah mempunyai tenaga yang mencukupi untuk melakukan henjutan di akhir saingan. Ketika di zon pecutan terakhir saya tidak terlalu mendesak untuk mengambil mata," katanya pada sidang media selepas perlumbaan semalam.

Jelasnya, kejayaan muncul juara perlumbaan peringkat dianggap penting untuk menambah mata keseluruhan bagi bersaing merebut Jersi Hijau yang sudah dimenangi Anuar (Manan) buat kali ketiga berturut-turut.

Sementara itu, hajat jaguh pecut negara, Anuar Manan untuk menjuarai satu peringkat perlumbaan LTdL 2010 pula masih belum kesampaian selepas hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Namun pelumba pasukan Geumsan Ginseng Asia itu masih lagi mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut.

Bagi Jersi Polka Dot (Raja Bukit) pelumba Drapac Porsche, Peter McDonald terus menunjukkan kehebatannya selepas menyarung jersi tersebut buat kali ketiga berturut-turut.

Perlumbaan peringkat keempat akan bermula di Terminal Feri, Mersing dan berakhir di Pekan Parit Sulong merangkumi jarak 163.5km.

<< Back to Main

WE SUPPORT

MEDIA ENQUIRY
For any media enquiries, kindly email to media@ltdl.com.my