Cabaran buat pelumba negara
01/03/2010, KOSMO
MAMPUKAH
pelumba negara melakar kejutan pada Kejohanan Lumba Basikal
Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 kali ini?
Itu
persoalan yang kerap kali menjadi perhatian peminat basikal
tempatan setiap kali kejohanan lumba basikal berstatus 2.0
Hors itu berlangsung.
Atas
kertas, kemampuan pelumba negara untuk bersaing dengan pelumba
handalan Eropah masih lagi jauh ketinggalan.
Pencapaian
terbaik pelumba negara sepanjang 14 edisi LTdL setakat ini
dicipta oleh Tsen Seong Hoong yang menduduki tempat ke-19
keseluruhan pada edisi sulung 1996.
Namun
ketika itu, LTdL hanya berstatus 2.5 dan tidak ramai pelumba
handalan yang menyertainya.
Tahun
lepas, ketika Anuar Manan diletakkan jangkaan yang tinggi,
Ng Yong Li dari pasukan LeTua dan Mohd. Faris Abdul Razak
pula yang muncul pelumba paling menyerlah apabila masing-masing
menamatkan perlumbaan di tangga ke-45 dan 54 daripada lebih
180 peserta.
Namun
kali ini, pelumba sensasi negara, Anuar bertekad untuk mencatat
kejutan sejak mengubah destinasi pasukannya daripada pasukan
Azad University ke pasukan dari China, Geumsan Ginseng Asia
tahun ini.
Selain
Anuar, pelumba negara lain yang dijangka memberi harapan untuk
menyinar ialah Ahmad Haidar Anuwar, Loh Sea Keong yang berlumba
buat pasukan Marco Polo, Ng Yong Li dan Mohd. Hafiz Rozli
(LeTua), Adiq Hussainie Othman (Giramondo Agostino) dan Mohd.
Akmal Amrun (skuad kebangsaan Malaysia).
Namun,
menurut Anuar, selain mengharapkan rakan-rakan mempamer kayuhan
yang bertenaga, dia pula berharap dapat menamatkan badi buruk
yang menimpanya tahun lepas termasuk ketika rantai basikalnya
putus dan tayar pula kerap kali pancit ketika perlumbaan.
"Tahun
lepas saya gagal menyempurnakan misi yang diberikan dan gagal
menyinar seperti yang diharapkan, tetapi kali ini saya harap
dapat melakukan yang terbaik," kata pelumba dari Terengganu
itu.
"Kali
ini saya turun dengan pasukan baru iaitu Geumsan Ginseng Asia
dan kami menjalani persiapan yang baik di Thailand.
"Laluan
perlumbaan kali ini juga kebanyakkannya laluan mendatar dan
ia mungkin memberi saya sedikit kelebihan. Apa pun saya tidak
boleh memandang mudah perlumbaan ini, apa yang boleh saya
katakan ialah saya akan mencuba sedaya upaya untuk menjadi
pelumba terbaik di Asia," katanya lagi.
Nama-nama
besar seperti Ghader Mizbani, Hossein Askari, Tonton Susanto,
Masahiro Shinagawa, Alexandr Dymovskikh dan beberapa lagi
pelumba lain sudah cukup untuk menggambarkan bahawa betapa
besarnya tugas pelumba negara pada LTdL kali ini.
Malah,
tahun ini juga bakal berlangsungnya Sukan Asia di Guangzhou,
China, maka inilah medan terbaik buat mereka untuk mencari
rentak dan mengukur tahap keupayaan mereka sebelum beraksi
di kejohanan terbesar selepas Sukan Olimpik dan Komanwel.
Namun
ada baiknya kita tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap
mereka, khususnya pasukan kebangsaan Malaysia selepas jurulatih
baru dari Australia, William Walker hanya menetapkan sasaran
untuk berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik sebagai sasaran
awal.
Sukar
untuk meramalkan peluang pelumba dan pasukan negara sebelum
perlumbaan bermula, namun menguasai saingan di peringkat awal
juga bukan bermakna juara keseluruhan berhak untuk dinobatkan
lebih awal.
Apa
sahaja boleh terjadi dalam perlumbaan basikal lebuh raya,
strategi dan percaturan setiap pasukan memainkan peranan penting,
justeru diharap pelumba-pelumba negara mampu membuktikan kehebatan
dan kemampuan sebenar mereka untuk bersaing dengan pelumba
handalan dunia yang lain.
Inilah
masanya untuk mereka buktikan, bermula pada perlumbaan peringkat
pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang hari ini sehinggalah
ke peringkat terakhir pada Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka
7 Mac ini.
LTdL
musim ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan
kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM)
yang diberi status Hors oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa
(UCI).
<<
Back to Main |