Saingan
dijangka sengit
31/1/2009,
Harian Metro
DENGAN penampilan 20 pasukan handalan
pada saingan Le Tour de Langkawi edisi ke-14 tahun ini, penentuan
juara keseluruhan sekali lagi akan ditentukan pada peringkat kelima
iaitu pendakian ke puncak Genting Highlands.
Kehadiran Jose Serpa bersama pasukan Serramenti
PVC Diquigiovanni yang berjaya menakluk puncak yang mempunyai
ketinggian 1,629 meter sebanyak dua kali pasti bakal tergugat
dengan kehadiran bintang Tour de France dari Sepanyol, Juan Jose
Cacbo (Fuji-Servetto) dan Jose Angel Gornez Marchante (Cervelo
Test Team).
Selepas tahun lalu pendakian ke puncak genting
terpaksa digugurkan aksi tahun ini pasti akan lebih mendebarkan.
Ketua Pegawai Operasi, Datuk Naim Mohamad
berkata, biarpun hanya membabitkan penyertaan 20 pasukan berbanding
25 pasukan tahun lalu, penyertaan pelumba pada tahun ini lebih
simbolik apabila mencatatkan penyertaan pelumba dari 35 negara
dengan 120 pelumba mengesahkan penyertaan.
“Pegawai yang berada dalam jawatankuasa
pemilihan meneliti dengan terperinci setiap pasukan yang akan
dijemput bagi memastikan impak yang diberikan pada edisi kali
ini penuh warna-warni.
“Kami mengalu-alukan penyertaan pelumba
daripada seluruh dunia. Ia sebagai bukti dan tanda penganjuran
LTdL mendapat perhatian yang meluas,” katanya.
Sementara itu, Pengurus pasukan MCF Continental,
Omar Saad, berkata pemecahan pelumba lama dengan penyatuan beberapa
muka baru dalam pasukan kebangsaan dan MCF adalah berdasarkan
strategi untuk mengumpul kekuatan dalam pendakian.
Katanya, jika melihat daripada kemampuan,
pelumba yang membarisi skuad MCF dilihat mempunyai lebih kelebihan
untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok 15 terbaik dan muncul
juara kategori Asia.
“Kami mengharapkan kepada lima pelumba
di dalam MCF untuk monopoli barisan hadapan. Antara pelumba berkenaan
terdiri daripada (Mohd) Rauf (Nur Nisbah), (Mohd) Faris (Abdul
Razak), (Mohd Nor) Riduan (Zainal), Amir (Mustafa Rosli) serta
pelumba berpengalaman negara, Suhardi (Hasan),” katanya.
Barisan itu dilihat mempunyai kekuatan tersendiri
namun apa yang membimbangkan Omar adalah kekuatan pasukan lain
yang sukar untuk diduga.
“Jika kita lihat pasukan kita sudah
cukup kuat. Tapi harus diingat pasukan lain juga kuat. Itu yang
tambah merisaukan saya,” katanya.
Justeru melihat kepada situasi berkenaan,
jurulatih negara, Jamaludin Omar kini mencari rentak untuk mencapai
tahap kelajuan maksimum agar barisan negara tidak ketinggalan
di kelompok belakang seterusnya hanya dilabel sebagai pasukan
penumpang dan pelengkap.
<< BACK
|