Anuar
tekad pertahan gelaran raja pecut
24/12/2008,
Utusan
Online
KUALA LUMPUR - Pelumba basikal
negara, Anuar Manan mengharapkan penyertaan pertamanya mewakili
skuad kebangsaan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009 akan membuahkan
kejayaan cemerlang.
Beliau kini sudah mula menyesuaikan
diri dengan skuad kebangsaan sejak menyertai pasukan itu awal
November lepas.
"Saya bersama rakan sepasukan,
Ahmad Haidar Anuawar masih bersama dan kini sudah mula membiasakan
diri dengan menjalani latihan bersama-sama pelumba lain dalam
skuad kebangsaan.
"Harapan saya kini ialah dapat
mengatasi pencapaian saya pada LTdL 2008 dengan hanya menyarung
jersi raja pecut pada dua peringkat sahaja," kata pelumba
yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu.
Pada perlumbaan edisi ke-13 LTdL
awal tahun ini, Anuar, 22, mencipta sejarah apabila menjadi pelumba
tempatan pertama berjaya menyarung jersi raja pecut pada peringkat
ketiga dan keempat perlumbaan.
Anuar dan skuad berbasikal lebuh
raya kebangsaan kini menjalani latihan di bawah pemantauan jurulatih
Jamaluddin Omar.
Pada perlumbaan Tour d'Indonesia
pada 23 November lalu, Anuar berjaya mengumpul 21 mata dalam kategori
pecutan dengan meninggalkan pelumba daripada skuad Bintang Kranggan,
Indonesia, Nugroho Kisnato yang menduduki tempat kedua dengan
hanya 15 mata.
Anuar sebelum ini berjaya memenangi
gelaran raja pecut pada Jelajah Malaysia 2007 dan 2008 serta Tour
de East Java 2008.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif
LTdL Abu Samah Wahab, yang juga presiden Persekutuan Kebangsaan
Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata, beliau berpuas hati dengan
prestasi Anuar dalam skuad kebangsaan.
"Pada perlumbaan Tour d'Indonesia
baru-baru ini, pelumba skuad kebangsaan berjaya memenangi dua
peringkat dan saya lihat ini sebagai perkembangan baik pasukan
negara menjelang LTdL 2009," katanya sambil melahirkan harapan
skuad berbasikal lebuh raya negara mencatat kejayaan cemerlang
pada edisi ke-14.
Penganjuran edisi LTDL yang akan
berlangsung pada 9 hingga 15 Februari depan diadakan secara kerjasama
antara Kementerian Belia dan Sukan serta PKBM.
Perlumbaan berkenaan kekal dengan
status Hors oleh Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI).
<< BACK
|