Skuad
Malaysia berlatih di Genting Highlands
20/1/2009,
Utusan Online
KUALA LUMPUR - Barisan pelumba
kebangsaan yang mewakili skuad Malaysia dan Pasukan MCF Continental
akan menjalani latihan di Genting Highlands sebagai persediaan
menghadapi kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009
pada 9-15 Februari ini.
Jurulatih MCF Continental Team,
Jamaludin Omar berkata, latihan selama dua minggu bermula hari
ini itu melibatkan 14 pelumba (tujuh pelumba skuad Malaysia dan
tujuh pelumba MCF Continental Team).
"Tujuan utama kita membuat
program ini adalah bagi meningkatkan daya tahan pelumba-pelumba
negara yang sering ketinggalan apabila melalui peringkat pendakian
ini," katanya semalam.
Beliau berkata, pada edisi-edisi
sebelum ini, pelumba-pelumba tempatan menunjukkan kelemahan yang
ketara apabila melibatkan peringkat pendakian sama ada ke puncak
Genting Highlands atau Bukit Fraser, sehingga membolehkan pelumba-pelumba
luar negara mengambil kesempatan untuk menjarakkan kedudukan masa
dan mata.
"Semua pelumba akan berkampung
di puncak Genting Highlands untuk menjalani latihan selama tiga
hingga empat jam sehari serta dipantau oleh pegawai-pegawai dari
Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan tahap kecergasan mereka,"
katanya.
Jamaludin berkata, sebagai jurulatih
beliau hanya boleh menyumbang 30 peratus sahaja manakala gabungan
pelumba dan mesin (basikal) sebenarnya membentuk 50 peratus jika
ingin mencapai kejayaan.
"Tempoh dua minggu memang
tidak mencukupi untuk membina satu ketahanan bagi bersaing dengan
pelumba-pelumba luar negara tetapi sekurang-kurangnya dengan latihan
ini akan dapat membantu mereka kelak," katanya.
Selain itu, latihan ini diharapkan
dapat membentuk kerjasama terutama di kalangan pelumba-pelumba
yang pakar pendakian seperti Loh Sea Keong, Mohd. Zamri Salleh,
Mohd. Rauf Nur Misbah dan Mohd. Faris Abd. Razak walaupun dari
dua pasukan berbeza.
LTdL 2009 bakal mempertandingkan
tujuh peringkat perlumbaan di mana pendakian kategori Hors iaitu
peringkat pendakian tertinggi dalam perlumbaan berbasikal adalah
pada peringkat kelima.
Pada peringkat itu, para pelumba
terpaksa melakukan pendakian ke puncak Genting Highlands setinggi
1,679.2 meter dari aras laut pada lima kilometer terakhir selain
perlu mengharungi tiga zon pecut di Paya Jaras, Rawang dan Gombak.
LTdL 2009 yang menampilkan 20 pasukan
adalah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama
Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM). - Bernama
<< BACK
|