Aurelien
Clerc mahu pertahan jersi hijau
17/1/2009,
Utusan Online
KUALA LUMPUR - Pakar pecut Switzerland,
Aurelien Clerc berjanji untuk memberi aksi terbaik pada Le Tour
de Langkawi (LTDL) 2009 sekaligus mempertahankan jersi hijau yang
dimenanginya musim lepas.
Clerc yang beraksi untuk pasukan
dari Perancis, Ag2r-La Mondiale setelah berpindah dari Bouygues
Telecom menganggap LTDL adalah perlumbaan yang banyak memberi
kelebihan kepadanya dan ia terbukti apabila dia berjaya menyarung
jersi hijau selaku raja pecut pada perlumbaan musim lepas.
''Laluan yang panjang selain lebih
banyak pendakian mampu memberi kelebihan kepada saya apabila beraksi
di LTDL.
''Saya sendiri menyukai negara
yang mempunyai cuaca panas terutamanya di Asia Tenggara dan ia
antara faktor yang membuatkan saya jatuh hati untuk kembali beraksi
pada LTDL kali ini,'' katanya dalam satu kenyataan media di sini
semalam.
LTDL 2009 bakal berlangsung pada
9 Februari depan bermula di Putrajaya dan berakhir di Dataran
Merdeka enam hari kemudian.
Sebanyak 20 pasukan akan mengambil
bahagian di dalam perlumbaan edisi ke-14 kali ini dan antara yang
mencuri tumpuan adalah Cervelo Test Team dari Switzerland yang
turut menyenaraikan juara keseluruhan individu Tour de France
2008, Carlos Sastre dari Sepanyol.
Clerc dalam pada itu turut memberi
amaran kepada para pesaingnya betapa dia sudah bersedia untuk
melakukan yang terbaik dalam perlumbaan yang merangkumi jarak
1,029.9 kilometer itu.
''Program saya pada tahun ini agak
berbeza dari tahun lepas. Saya memulakan tahun 2008 dengan menyertai
Tour Down Under di Australia tetapi kali ini LTDL akan menjadi
perlumbaan pembukaan buat saya.
''Apa pun saya sentiasa bersedia.
Kem latihan yang dianjurkan pasukan telah membantu saya untuk
meningkatkan prestasi dan saya yakin saya mampu mengulangi pencapaian
lalu selain berusaha untuk memenangi beberapa peringkat perlumbaan,''
katanya.
Pelumba berusia 29 tahun itu turut
mengimbau kembali penglibatannya di dalam LTDL tahun lepas.
''Pada mulanya saya tidak tersenarai
untuk mengambil bahagian pada LTDL 2008.
''Namun saya tetap meminta untuk
dimasukkan ke dalam senarai peserta kerana pada saya LTDL adalah
lebih menarik untuk disertai berbanding Tour of Qatar,'' katanya.
<< BACK
|