Laluan
tetap mencabar
12/12/2008,
Utusan Online
PUTRAJAYA - Ketua Pegawai Operasi
(COO), Le Tour de Langkawi (LTdL) 2009, Datuk Naim Mohamad menafikan
laluan perlumbaan jelajah berbasikal tahun depan terlalu pendek
dan tidak begitu mencabar.
Sebaliknya, beliau mengakui, walaupun
atas kertas memang nampak mudah tetapi ia sebenarnya menawarkan
pendakian yang lebih kerap dan sukar.
"Biasanya perlumbaan sebelum
ini, peringkat awal tiada pendakian tetapi kali ini, peringkat
pertama lagi pelumba sudah dikerah untuk mendaki diikuti peringkat
seterusnya.
"Jadi tidak benar laluan LTdL
tahun depan tidak menarik dan lebih bertujuan untuk memudahkan
pelumba negara mencipta kejayaan.
"Sebenarnya ia lebih mencabar
keupayaan semua pelumba dan 20 pasukan yang bertanding,"
katanya.
Beliau berkata demikian selepas
majlis pelancaran laluan LTdL 2009 yang disempurnakan wakil Menteri
Belia dan Sukan iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia
dan Sukan, Datuk Mohid Mohammad di sini, semalam.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif
LTdL 2009, Abu Samah Wahab yang juga merupakan presiden Persekutuan
Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Menurut Naim, pendakian ke Genting
Highlands kembali disenaraikan tahun depan selepas tercicir sebagai
salah satu peringkat perlumbaan tahun ini.
"Tujuan kita bentuk laluan
ringkas seperti ini bertujuan untuk meminimumkan kekerapan perpindahan
yang terlalu lama dan tidak disukai pelumba serta pasukan luar.
"Mengenai pasukan yang bertanding,
senarai penuh dan lengkap hanya dapat diumumkan pada penghujung
bulan depan," jelasnya.
Sebanyak tujuh peringkat perlumbaan
bakal dipertandingkan pada jelajah edisi ke-14 itu nanti yang
dijadual berlangsung dari 9-15 Februari depan.
<< BACK
|