Anuar,
Haidar taruhan terbaik
05/02/2009,
Utusan Online
KUALA LUMPUR - Persekutuan Berbasikal
Malaysia (PKBM) mempertaruhkan gandingan mantap Anuar Manan dan
Ahmad Haidar Anuawar untuk memburu kejuaraan kategori Asia pada
perlumbaan Le Tour de Langkawi 2009 (LTdL 2009) yang bermula minggu
depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Naim Mohamad
berkata, harapan besar disandarkan kepada pasukan negara berdasarkan
persembahan baik yang ditunjukkan kedua-dua pelumba tersebut di
kejohanan tersebut tahun lalu.
"Mereka adalah pelumba harapan yang
sedang meningkat naik dan telah menunjukkan persembahan baik di
kejohanan ini tahun lalu.
"Selain itu pasukan ini juga telah
berjaya menunjukkan kerjasama berpasukan yang baik dan sehubungan
itu, saya berharap mereka dapat membantu pasukan negara berjaya
menduduki tempat ketiga keseluruhan untuk kategori Pasukan Asia,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penajaan
kereta oleh pengedar utama kenderaan mewah dari Jerman, Volkswagen
(VW) bagi kegunaan LTdL 2009 yang akan bermula 9 hingga 15 Februari
ini.
Pada majlis tersebut, VW bersetuju menaja
sebanyak 120 kereta bernilai RM24 juta bagi digunakan oleh pihak
penganjur dan media, serta penajaan jersi biru untuk pelumba terhandal
Asia.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif
VW Cars Sdn. Bhd. (VW Cars), Datuk Ilyas Mohamed, Pengarah Urusan
VW Cars, Andreas Prinz dan Pengarah Pemasaran dan Hubungan Awam
VW Cars, Wan Ahmad Wan Abas.
Mengulas lanjut mengenai harapan besar PKBM
itu, Naim berkata, pasukan negara mempunyai potensi untuk melakukannya
setelah menjalani latihan mantap sebelum ini.
Katanya, pihak persatuan meletakkan harapan
tinggi kepada pasukan negara untuk mengulangi kejayaan muncul
juara Asia yang pernah dicapai pada 1999 lalu.
"Kita hanya berharap pasukan negara
dapat membuat persembahan terbaik dan berjaya mengulangi kejayaan
itu," katanya.
<< BACK
|